“Saya tidak fikir Najib menggemari idea untuk masuk penjara. Dia mahu diampunkan tanpa masuk penjara,” itu penyataan tegas Pengerusi Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu penyelewengan, pecah amanah dan salah guna kuasa Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, pengampunan bakal membolehkan Ahli Parlimen Pekan itu bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dan menjadi Perdana Menteri semula.

“Sudah tentu hanya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang boleh memaafkannya,” katanya dalam satu posting di Facebook rasminya pada semalam.

Selain itu Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan berhubung perkara berkenaan sebelum keputusan dibuat.

“Jika dapatan tidak sebulat suara, kemungkinan pengampunan akan diberikan. Ini adalah hasrat orang rasuah yang percaya bahawa kerajaan yang rasuah akan bertolak ansur dengan rasuah mereka,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata ramai pengundi yang merasakan bahawa mereka tidak mempunyai alternatif lain dalam memilih pemimpin memandangkan semua ahli politik korup.

“Nasib baik perkara itu tidak begitu benar. Terdapat ahli politik yang tidak rasuah, cintakan negara mereka, dan mahu Malaysia sekali lagi menjadi Harimau Asia.

“Terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan yang mahukan Malaysia menjadi sebuah negara yang hebat. Malangnya NGO bukan parti politik,” katanya.

Jelasnya, cara terbaik untuk NGO mencapai perjuangan mereka dalam membersihkan kerajaan adalah dengan mengundi ahli politik bersih yang tidak berkuasa sekarang tetapi mahu negara pulih sebagai Harimau Asia.

“Atau mereka mencalonkan diri dalam pemilihan sebagai calon dari parti yang bersih tanpa bergabung dengan parti-parti lain,” katanya.

Tamat