KUALA LUMPUR: PAS dalam membawa agenda perpaduan ummah sama sekali tidak berganjak mahu Muafakat Nasional diteruskan, demikian tegas Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Bersama dengan semua sekali, termasuklah Mufakat Nasional, Perikatan Nasional. Sehingga ini begitulah,” ujarnya menjelaskan pendirian PAS tetap akan bersama Umno dan BERSATU.

Beliau menjawab demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang, pagi tadi.

Berkenaan penggunaan logo Perikatan Nasional yang baharu, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama di mana setakat ini bersetuju logo baharu akan diadakan.

Manakala terangnya, sebarang ketetapan daripada perubahan lain yang berkaitan akan juga dibincangkan apabila tiba masanya nanti.

Berkaitan pembahagian kerusi, beliau memberitahu hal itu dibincangkan dari semasa ke semasa memandangkan tarikh PRU belum diketahui, namun persediaan sudah diadakan.

Tuan Guru turut diminta menyentuh mengenai penghinaan terhadap Islam dan Rasulullah SAW yang berleluasa sama ada memerlukan tindakan undang-undang lebih tegas.

“Ya, memang begitu. Islam perlu diperkasakan dan kita akan ambil tanggungjawab. Kita sentiasa lihat dari semasa ke semasa. Bila tiba masanya kita akan bertindak.

“Memang mesti satu undang-undang tegas perlu. Sebab, Islam dalam Perlembagaan. Islam adalah agama Negara,” ujarnya namun mengakui masih terdapat kelemahan dari sudut ketegasan berkaitan.

Tamat

Sumber – Harakah Daily