Usaha meningkatkan martabat guru KAFA senada dengan langkah yang diambil oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Idris Ahmad apabila terus turun berbincang dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya dalam pembagunan modal insan, perihal subjek agama tidak boleh dianak tirikan dan para gurunya harus mendapat hak yang sama seperti guru yang lain.

Oleh itu, rayuan penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) adalah menjadi satu keperluan.

“Kita buat rayuan kepada Kementerian Kewangan. Insya-Allah kita cuba atasi kerana semua itu kena ikut peraturan. Bukan kita tidak mahu jaga guru KAFA,” katanya dalam sidang media beberapa hari lalu.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilapor mengesahkan keputusan menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh selama 60 hari kepada guru KAFA seperti yang diumumkan pada Januari lepas, sebagai mematuhi saranan Kementerian Kewangan.

Idris berkata rayuan kepada MOF itu juga sebagai langkah membela nasib guru KAFA dan membantu kumpulan tersebut dalam apa juga cara.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu sensitif berkaitan penghinaan terhadap agama Islam dan pihaknya mendapat kerjasama baik daripada polis untuk menangkap mereka yang terlibat.

“Dakwaan bahawa kerajaan tidak bertindak tegas hanya bertujuan memanipulasi isu dan mengeruhkan keadaan kerana undang-undang yang sedia ada cukup untuk bertindak,” katanya dan menambah beberapa individu yang terlibat telah dikenakan tindakan undang-undang.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya membantu kerajaan dengan melaporkan kes-kes penghinaan terhadap agama Islam yang mungkin terlepas pandang oleh pihak berkuasa.

Tamat