Satu sejarah baru dicipta bagi mendisiplinkan mana-mana wakil rakyat yang selama ini sentiasa melompat parti bagi mendapatkan imbuhan tertentu kini terlaksana apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti lulus.

Ruu itu diluluskan menerusi undi belah bahagi dengan 209 ahli parlimen mengundi menyokong dan tiada menentang, manakala 11 orang tidak hadir.

Dengan pindaan tersebut, ahli parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahlinya. Namun, ahli parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi.

Ahli parlimen juga tidak akan hilang kerusi jika parti mereka dibubarkan atau bergabung dengan parti lain, atau jika mereka keluar parti untuk menjadi speaker Dewan Rakyat.

Bagi ahli parlimen yang menang dengan tiket bebas pula, mereka yang kemudiannya menyertai sesebuah parti atau menjadi anggota gabungan akan kehilangan kerusi.

“Terima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat kerana mencipta sejarah hari ni,” kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun selepas mengumumkan jumlah undian.

RUU tersebut diluluskan selepas bacaan kali ketiga setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyampaikan penggulungan selama kira-kira 40 minit.

Terdahulu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut menjawab soalan Abdul Latiff Abdul rahman (PAS-Kuala Krai), Shafie Apdal (Warisan-Semporna), Lim Guan Eng (PH-Bagan) dan Shamsul Iskandar Md Akin (PH-Hang Tuah Jaya) dalam penggulungannya berhubung situasi sekiranya seorang ahli Dewan Rakyat memberikan sokongan kepada parti politik selain dari parti politik yang diwakilinya.

“Ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongannya kepada parti politik selain yang diwakilinya tidak dianggap bertukar parti. Ini kerana Ahli Dewan Rakyat tersebut masih kekal sebagai ahli parti politik yang diwakili,” katanya.

Sebelum ini, Wan Junaidi berkata setelah RUU itu mendapat kelulusan kedua-dua dewan, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan di antara 11 hingga 26 Ogos 2022 untuk diperkenankan.

Pewartaannya pula dijangka dibuat di antara 29 Ogos hingga 2 Sept ini serta
sesi libat urus bersama ahli Dewan Negara akan diadakan pada 8 Ogos dan bacaan kali pertama di Dewan Negara adalah pada 9 Ogos diikuti bacaan kedua pada hari berikutnya.

Tamat