Masih terasa bahang semangat filem Mat Kilau, kini semangat itu semakin membara apabila Mohd. Al Jufferi Jamari berjaya melengkapkan tujuh pingat emas pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, malam tadi.
Lebih manis pesilat tempur itu, berjaya membawa membuka ruang melonjakkan nama negara pada sebelum majlis penutup.
Perjuangan sembilan pesilat negara yang terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita di saingan akhir berjaya membawa pulang empat kilauan emas meskipun berlaku kontroversi sewaktu pertemuan antara Mohammad Khairi Adib Azhar dan Aniq Asri Mohammad dari Singapura.
Tiga pingat emas sebelum itu disumbang menerusi acara silat artistik yang menutup gelanggang Jumaat lalu.
Kejuaraan dunia yang disandang dalam Kelas F menewaskan Iqbal Chandra Pratama dari Indonesia dengan keputusan 35-21 itu menobatkan atlet berusia 30 tahun itu sebagai juara dunia buat kali keempat sejak 2012.
Kemenangan itu juga menebus kekecewaan selepas rakan sepasukannya, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang gagal mempertahankan gelaran disandangnya di Singapura pada 2018 apabila tumpas kepada Quang Thi Thu Nghia dari Vietnam, 35-60.
Tiga lagi emas milik negara disumbangkan Muhammad Robial Sobri, Nor Farah Mazlan dan Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir.
Bertanding dalam Kelas I, Muhammad Robial meraih kemenangan selepas penyertaan lawannya, Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin dari Singapura dibatalkan sebelum tamat pusingan ketiga.
Buat pesilat berasal dari Kedah itu, kemenangan tersebut adalah gelaran pertamanya dinobatkan selaku juara dunia bagi Kelas I.
Kemenangan itu hadir susulan tindakan lawan yang menumbuk pipi kanan Muhammad Robial, sekaligus menyebabkan pesilat negara terjatuh serta dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Nor Farah kini mampu mendabik dada apabila menyertai senarai juara dunia yang pertama kali buatnya selepas meraih kemenangan dalam Kelas F.
Beraksi dalam saingan penuh sengit menentang Nadhrah Sahrin dari Singapura, pesilat dari Kota Belud, Sabah berusia 24 tahun itu berjaya melakar kemenangan tipis 25-23.
Tamat