Taiping: Keputusan Parti Bangsa Malaysia (PBM) terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh Paul Yong Choo Kiong yang disabit bersalah atas tuduhan merogol untuk ‘berehat’ daripada aktiviti dan pengurusan parti tidak akan mempengaruhi statusnya untuk digugurkan sebagai wakil rakyat.

Speaker DUN Perak Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, selagi penangguhan hukuman mahkamah atau ‘stay of the execution’ terhadap Adun itu berjalan memandangkan beliau dibenar merayu ke Mahkamah Rayuan, maka Yong masih kekal sebagai wakil rakyat.

“Merehatkan daripada pengurusan dan aktiviti politik, itu keputusan di peringkat parti yang tiada kena-mengena dengan Dewan Negeri, tiada kena-mengena dengan Peraturan Dewan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Pra Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2022 Negeri Perak di Dataran Warisan di sini, hari ini yang turut menyaksikan sambutan kedatangan Jelajah Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia.

Sebelum ini, Mohamad Zahir dilaporkan berkata pihaknya akan merujuk kepada Penasihat Undang-undang Negeri (LA) berhubung status Adun Tronoh itu selepas diputuskan bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 27 Julai lalu.

Ditanya perkembangan mengenainya, Mohamad Zahir berkata, setakat ini pihaknya belum memperoleh maklumat rasmi daripada Pejabat LA negeri yang turut merujuk perkara itu kepada Pejabat Peguam Negara.

“Namun, secara makluman dan perbincangan (tidak rasmi), kita dapati Paul Yong sudah memfailkan rayuanya di Mahkamah Rayuan yang bermakna proses undang-undang (kes) itu masih berjalan, dengan dia juga mendapat penangguhan hukuman.

“Dengan demikian, beliau masih kekal sebagai Adun kerana proses perundangan kes dia masih belum tamat. Saya pun tidak tahu bila jangkaan keputusan dari LA kerana ia berkaitan urusan mahkamah,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan Ketua Penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid berkata Paul Yong direhatkan daripada aktiviti dan pengurusan parti itu.

Ia termasuk jawatannya sebagai Bendahari Agung dan Pengerusi PBM Perak serta akan digantikan dengan indvidu lain dalam masa terdekat dengan ia berkuat kuasa sehingga proses rayuan di mahkamah selesai.

Pada 27 Julai lalu, Paul Yong dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu selepas Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu kerana berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tamat

Sumber – Harian Metro