Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah menunjukkan pencapaian dan prestasi yang baik di bawah pimpinan PAS di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu dan membuktikan PAS mampu mentadbir negara.

Pimpinan PAS yang bersih, selain dari bebas rasuah juga telah membuktikan keupayaan dalam pentadbiran, mampu mencatat kamajuan ekonomi dan sentiasa konsisten mengajak kepada perpaduan dan penyatuan ummah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata demikian pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Indera Mahkota dekat sini baru-baru ini.

“Kita kena terus bergerak ke hadapan maka kerana itu jangan kita was-was dalam perjuangan, kena pastikan bahawa segala apa yang dirancang, segala apa yg digariskan oleh kepimpinan kita dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” tegas beliau lagi, yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Presiden PAS Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang meminta agar ahli PAS sentiasa bersabar dalam perjuangan untuk menegakkan Islam, yang sentiasa diuji dalam diri sendiri dengan ujian hawa nafsu selain dari menghadapi musuh yang menghalang Islam mencapai kemenangan di negara kita.

“Dalam dunia hari ini Islam dihalang di mana-mana sahaja bukan sahaja oleh musuh, tetapi termasuk juga di kalangan yang berkawan dengan kita.

“Mereka tidak percaya, tidak yakin dengan perjuangan Islam dan tidak memberi Islam berkuasa dan memerintah. Tujuan kita adalah untuk mendaulatkan Islam di samping berkuasa dan memerintah maka kita usahakan,” kata Abdul Hadi Awang.

Tamat