Masih ada lagikah kemanusiaan apabila seorang pengawal keselamatan yang ditetak dengan pedang akhirnya meninggal dunia selepas dirawat di Hospital Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)

Menurut laporan, mangsa Ismail Ahmad 58 cedera di kepala dan tangan kiri akibat dilibas pedang semasa bertugas, sehingga mendatangkan pendarahan teruk pada bahagian anggota tubuh badan.

Arwah akhirnya menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 petang semalam selepas dimasukkan ke hospital sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kematian mangsa, namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dijalankan.

Difahamkan, mayat akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan punca kematian mangsa hanya akan diketahui selepas proses bedah siasat yang dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

Kematian mangsa perlu mendapat pembelaan seadilnya kerana mangsa bertugas sebagai pengawal keselamatan bagi menjaga tapak projek berdekatan.

Dalam kejadian pada jam 4.40 petang Khamis lalu, Allahyarham Ismail cedera di kepala dan tangan kiri selepas dilibas pedang oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana ditegur mangsa ketika dia menunggang motosikal.

Mangsa dikatakan menegur perbuatan lelaki terbabit yang ketika itu dilihat menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan tapak projek berkenaan sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Lelaki terbabit beredar sebelum datang semula bersama dua rakan dan melibas sebilah pedang terhadap mangsa sehingga pengawal keselamatan terbabit terpaksa dikejarkan ke hospital.

Tamat