“Tindakan keras akan dijalankan mengikut bidang kuasa agama negeri yang terbabit dengan kerjasama polis,” itu kata tegas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berhubung kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah.

Menurutnya pada masa sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengenal pasti lokasi pusat operasi.

Selain itu maklumat berhubung lokasi itu sudah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk diambil tindakan selanjutnya.

“Semalam baru dapat profil berkenaan Hadi Minallah di Kuala Lumpur, saya terus hubungi JAWI kerana pada mulanya ada yang kata di Langkawi dan sebagainya.

“… tapi semalam kami dapat alamat itu, kami beri pada JAWI kerana bidang kuasa untuk bertindak ini ialah di pihak agama negeri,” katanya kepada pemberita pada sidang media semalam.

Idris berkata pada beliau akan menggunakan semua medium yang ada bagi menyekat ajaran sesat berkenaan serta menyelamatkan akidah umat Islam negara ini.

Menurutnya ajaran sesat itu aktif di YouTube dan pihaknya telahpun melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk diambil tindakan.

“Setakat ini kita masih belum menerima maklumat sejak bila ajaran sesat itu mula aktif di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu Idris meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan ajaran sesat melaporkannya kepada pihak berkuasa agama negeri dan polis untuk diambil tindakan segera.

Ajaran Hadi Minnallah aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Berdasarkan video tular itu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minnallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia.

Lelaki itu mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama di mana dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis.

Antara ajaran lain dibawa ialah menyeleweng tafsiran al-Quran, menganggap dirinya wali, mengharamkan makan daging dan mewajibkan pengikutnya membayar zakat diri kepadanya sebagai tanda menyucikan diri.

Pengikut kumpulan ini yang berpakaian putih berserban didakwa aktif di Kuala Lumpur; Kajang, Selangor serta Johor.

Tamat