Seorang ustaz tetap menahan sabar walaupun diserang lima lelaki membuktikan sifatnya yang terpuji biarpun berdarah pada bahagian muka.

Itu antara akhlah terpuji seorang pengajar Yang boleh dijadikan contoh kepada pelajarnya dan akhirnya dua daripada lima penyerang berkenaan kini ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kedua-dua suspek berusia 30-an berkenaan ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Damak di Jerantut hari ini.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan.

“Tiga lagi suspek masih dikesan termasuk seorang suspek utama yang telah dikenal pasti butiran peribadi dan usaha menangkap suspek sedang dipergiatkan.

Menurutnya kedua-dua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berdasarkan maklumat awal pada pukul 5.10 petang semalam lima lelaki bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz berkenaan menaiki sebuah pacuan empat roda sebelum tiga suspek bertindak menyerang mangsa.

“Dalam kejadian itu penjaga tahfiz mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kanan dan menerima empat jahitan, cedera di tangan dan lebam di badan, manakala pelajar tersebut sakit di bahagian badan,” katanya.

Tular dalam media sosial hari ini beberapa rakaman video yang menunjukkan beberapa orang lelaki bertindak menyerang sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, di sini semalam.

Dalam satu video berdurasi 2.51 minit menunjukkan seorang lelaki yang memakai seluar pendek memarahi seorang mangsa sebelum bertindak memukulnya.

Berdasarkan rakaman lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.

Tamat