Mungkin akibat tidak mampu menghantar anaknya ke pusat jagaan kanak-kanak menyebabkan seorang wanita hamil didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, atas dua pertuduhan mengabaikan tiga anak kandungnya tanpa jagaan selama empat bulan, tahun lalu.

Melalui komen netizen di laman berita tempatan kebanyakkannya mengecam teruk mereka yang membuat aduan berkenaan.

Ini kerana ianya dilihat sebagai satu penganiyaan terhadap golongan wanita sedangkan bekas suami wanita berkenaan tidak mengambil peduli terhadap anak-anaknya.

Menurut netizen, pendapatan yang ada sebagai pembantu am sekolah tidak membuatkan si ibu mampu bagi menghantar semua anaknya ke pusat asuhan kanak-kanak.

Netizen menggesa pihak kerajaan terutamanya Kementerian Wanita turut serta campur tangan dalam kes ini bagi memastikan suspek mendapat pembelaan sebaiknya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu am sekolah didakwa dengan cuainya telah meninggalkan tiga anak kandungnya yang ketika kejadian berusia 11, 8 dan 6 tahun tanpa jagaan.

Tertuduh, Masanizah Roslan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia sedang hamil tiga bulan dan masih perlu menanggung tiga anaknya dengan gaji bulanan yang kecil.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana, dalam daerah Melaka Tengah antara 23 Mei 2021 sehingga 25 September 2021.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 12 September ini bagi serahan dokumen.