“Janji itu kita pegang sehingga kiamat demi mengukuhkan ummah dan kuatkan politik orang Islam/Melayu,” itu kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semalam.

Menurutnya PAS masih menjaga apa yang ada di tangan serta sentiasa memberi ruang dan bersedia untuk bekerjasama, walaupun UMNO membuat keputusan akan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“PAS ada disiplin dan tidak khianat kepada sesiapa, dan Islam ajar kita agar berada di jalan (landasan) yang betul.

” Sehingga kini kita (PAS) masih menjaga setia kawan dan apa yang ada di tangan,” katanya semalam.

Sanusi berkata, negeri lain boleh mengambil contoh apa yang berlaku di Kedah, hubungan baik tetap diteruskan dengan parti-parti yang lain.

“Apa yang saya ucapkan di Johor dahulu adalah dalam kontek negeri itu. Di Kedah kita tak sebut. Betapa baiknya PAS dalam hubungan bersama Barisan Nasional (BN) dan Umno.

“PAS tidak seperti mereka (Umno) sebab kita setia kepada kesefahaman yang dicapai ketika menubuhkan kerajaan sebelum ini.

“Budak-budak sekolah pun boleh tengok. Hakikat yang tak dapat ditolak. Depa (Umno) tak mengaku itu.. Teorinya begitulah,” katanya.

Sementara dalam perkembangan lain, keputusan sama ada Kedah akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seiring PRU nanti, ia akan diserahkan kepada PAS Pusat.

Menurutnya juga PAS Kedah menyasarkan 22 kerusi DUN selain mempertahankan 15 sedia ada pada PRU akan datang.

“Kalau depa (Umno) nak berlawan, lawanlah, kalau dia nak berkawan, dia boleh tumpang kekuatan kita,” ujar beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah.

Tamat