“Tiga faktor utama ikan bilis naik ke pantai dan antaranya ialah perubahan drastik suhu air laut, pertumbuhan alga dan plankton serta arus dan gelombang yang tinggi,” itu satu kenyataan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak Noraishah Hashim berhubung fenomena berkenaan.

Menurutnya perkara berkenaan adalah fenomena biasa yang jarang berlaku dan pihaknya akan memantau fenomena ikan bilis naik ke darat dan terdampar di pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor dari semasa ke semasa.

“Insiden yang sama berlaku pada Jumaat… didapati anak ikan tamban juga naik dan terdampar di pantai tersebut dalam kuantiti yang kecil.

“Ada maklumat juga memaklumkan kemungkinan lambakan ikan bilis di kawasan pantai Pasir Bogak disebabkan cahaya lampu di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata fenomena itu menyebabkan penduduk dan pengunjung mengambil kesempatan mengutip ikan bilis yang terdampar serta sudah kering di tepi pantai antara 11 pagi hingga 1 tengah hari semalam.

“Maklumat daripada nelayan yang menangkap ikan di kawasan sekitar memaklumkan kemungkinan ikan besar terutama ikan alu-alu yang mengejar dan memakan ikan bilis menyebabkan ikan bilis melompat ke pantai,” katanya.

Tamat