“Tahun ini, jumlah subsidi baja dan racun dinaikkan kepada RM300 melibatkan kos RM186 juta dan kerajaan telah pun menyusun satu strategi antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri,” tegas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Menurut beliau Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) bersama kerajaan negeri sentiasa menambah baik jumlah subsidi baja dan racun ke seluruh negara.

“Sebelum ini kerajaan hanya meluluskan peruntukkan sebanyak RM200 perhektar dan permusim melibatkan kos RM124 juta tetapi kemudian ianya ditambah mengikut keperluan serta harga semasa seperti mana yang semua dapat lihat kini.

“Contohnya skim baja dan racun padi bukit huma, kerajaan membelanjakan sebanyak RM35 juta sehingga RM40 juta setahun.

“Di sini terbukti, penyelarasan subsidi kepada semua negeri dilakukan sebelum ini,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol di Dewan Negara, hari ini.

Rita Sarimah meminta penjelasan MAFI jika kerajaan bercadang untuk menstruktur bantuan subsidi baja dan teknikal seperti bantuan benih tahan lasak dan rintang penyakit.

Nik Zawawi mengakui terdapat peningkatan harga racun di pasaran berikutan pelbagai faktor seperti peningkatan harga bahan asas di pasaran.

Katanya, begitu juga isu membabitkan serangan penyakit kepada tanaman padi dan tanaman lain yang berlaku dari semasa ke semasa serta dari satu musim ke satu musim.

Sehubungan itu, katanya, bagi mengatasi masalah itu, kerajaan melalui kerjasama Jabatan Pertanian di Sabah atau Sarawak meluluskan peruntukan RM200 perhektar dan permusim melibatkan perbelanjaan RM124 juta.

Situasi itu, kata Nik Zawawi membuktikan berlaku penyelarasan sebaran subsidi baja dan racun kepada negeri sejak sebelum ini lagi.

“Jika kemungkinan ada tempat yang lebih spesifik, Yang Berhormat boleh kemukakan kepada kami supaya dapat selaraskan dengan cara yang lebih berkesan,” katanya.

Tamat