Akibat sengaja mempermainkan isu perkauman dan agama Islam pemilik Crackhouse Comedy Club kini disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan di mana-mana premis di ibu negara ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermesyuarat pada 29 Julai lalu dan bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

“Malah, kita juga mengambil keputusan menyenaraihitamkan pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.

“Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan,” katanya.


Jalaluddin berkata, pihaknya juga sedang memantau beberapa kelab yang disyaki terbabit dengan aktiviti seumpama itu di sekitar ibu negara.

“Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan.

“Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

“Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada yang terlepas daripada tindakan kami,” katanya.

Pada 13 Julai lalu, media melaporkan Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, yang digantung sementara operasi oleh DBKL pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Menurut beliau pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.

Tamat