Inisiatif Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mampu me mengeluarkan pesawah dari belenggu kemiskinan dan menghentikan kegiatan kartel padi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihak kerajaan negeri bersama LZNK memecahkan monopoli kartel padi sekali gus membantu asnaf untuk memperolehi pendapatan lebih tinggi.

“Menurut rekod keluasan seluruh kawasan MADA adalah sebanyak 100,000 ekar sawah padi dan sepatutnya kutipan zakat padi adalah RM51 juta tetapi daripada rekod LZNK hanya RM5.3 juta sahaja.

“Kalau kita tolak separuh daripada itu, katalah yang bukan Islam, maka tinggal RM25 Juta. Kalau kita tolak pula separuh lagi dari itu dengan anggapan tak capai nisab dan sebagainya, sepatutnya LZNK boleh dapat RM12.5 juta paling lekeh.

“Tapi setiap tahun, kutipan zakat padi hanya antara RM4 juta hingga RM5 juta sahaja. Masih jauh perjalanan kita untuk sedarkan masyarakat tentang
kewajipan menunaikan zakat mengikut taksiran yang betul,” ujar beliau dalam Majlis Agihan Wakalah Zakat Pejabat Kerajaan Negeri.

Menurut Sanusi berkata beliau yakin bahawa sawah yang diusahakan sendiri oleh LZNK ini dengan penjagaan yang baik, pembajaan yang baik, tanah yang subur dan berkat Allah SWT hasil padi mampu mencecah seperti di Sekinchan, Selangor sebanyak 12 tan.

Setakat ini keperluan beras yang diperlukan oleh LZNK untuk memastikan kesinambungan kehidupan 16,000 buah keluarga asnaf di negeri Kedah sahaja adalah lebih kurang 4000 tan dengan peruntukkan sebanyak RM10 Juta setahun.

“Lani depa pusing balik duit tu, bagi asnaf yang buat bendang, dihantar ke kilang, dipek dalam plastik dan diagihkan semula kepada asnaf yang memerlukan di seluruh negeri Kedah. Konsep yang cantik, ‘Dari Asnaf Kepada Asnaf’,” katanya.

Pada masa sama beliau turut menyeru seluruh umat Islam di negeri Kedah untuk menunaikan zakat di LZNK bagi menggalakkan pengembangan ekonomi umat Islam khususnya di negeri Kedah Darul Aman.

Tamat