Kemunculan pasukan bola sepak Palestin untuk beraksi di Piala Dunia FIFA 2022 Qatar membuktikan negara berkenaan merupakan wilayah merdeka serta bebas walaupun dihimpit perbuatan zalim regim zionis.

Melalui satu laman web rasmi tempahan hospitaliti Piala Dunia FIFA 2022 Qatar telah menyenaraikan Palestin sebagai salah satu pilihan dalam senarai negara dan bukannya Israel.

“Penjualan tiket FIFA untuk Piala Dunia di Qatar mengeluarkan israel dan menggantikannya dengan “wilayah Palestin, diduduki”,” kata laman Twitter Palestine Culture.

Tindakan laman web itu mendapat reaksi yang pelbagai dari banyak pihak. Penyokong dan aktivis bebaskan Palestin memuji tindakan tersebut dan sementara penyokong zionis melabelkan ianya sebagai anti-Semitic.

Laman web itu merupakan satu-satunya yang diberi kuasa oleh FIFA untuk menawarkan dan menjamin pakej hospitaliti eksklusif termasuk tiket untuk setiap perlawanan Piala Dunia FIFA Qatar 2022.

Sementara itu, sebuah portal antarabangsa melaporkan, pada mulanya, senarai pilihan negara dalam laman web itu memaparkan “Wilayah Palestin Dijajah” sebelum ditukar kepada “Palestin”.

Qatar tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan negara haram Israel, bahkan sebaliknya menyokong Gerakan Perjuangan Islam (HAMAS) menjaga Semenanjung Gaza.

Sebelum ini, Qatar menjalin hubungan perdagangan dengan negara Zionis itu pada tahun 1966 namun memutuskan hubungan berkenaan pada tahun 2009 selepas Israel melancarkan perang terhadap pejuang Hamas di Gaza buat kali pertama.

Berbeza dengan Bahrain dan UAE yang baru-baru ini menandatangani perjanjian normalisasi dengan Israel, Qatar telah memberi syarat Negara Palestin ditubuhkan sekiranya mahu mengadakan sebarang normalisasi hubungan kedua-duanya.

Tamat