Satu berita gembira buat institusi pengajian pondok dan tahfiz di Kedah apabila Zakat Kedah, LZNK memperuntukkan sebanyak RM310 ribu untuk diagihkan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata setiap institusi pondok menerima wakalah untuk pengurusan pondok sebanyak RM3 ribu dan jumlah keseluruhan RM102 ribu. Manakala setiap Maahad Tahfiz menerima RM2 ribu dan jumlah keseluruhan sebanyak RM212 ribu.

“Harapan saya agar wang wakalah ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pengurusan pondok dan Maahad Tahfiz,” katanya dalam Majlis Agihan Wakalah Zakat Pejabat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Menurutnya jumlah bayaran zakat oleh kakitangan Kerajaan Negeri Kedah yang dibuat melalui potongan gaji secara bulanan oleh kakitangan 29 Agensi Kerajaan Negeri kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM2.8 juta.

Oleh itu Lembaga Zakat Negeri Kedah telah mengembalikan sebanyak RM360 ribu iaitu satu per lapan daripada jumlah zakat yang dibayar kepada Kerajaan Negeri sebagai wang wakalah zakat untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf yang layak.

“Saya menggalakkan semua penjawat awam termasuk penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Negeri Kedah mengambil langkah yang sama untuk membuat potongan zakat secara bulanan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah,” katanya.

Menurut rekod seramai 4,049 kakitangan Kerajaan Negeri daripada keseluruhan 5,247 iaitu 77 peratus kakitangan Kerajaan Negeri telah membuat bayaran zakat kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah melalui sistem potongan gaji bulanan berdasarkan rekod sistem pembayaran gaji.

Tamat