Entah apa yang tidak kena dengan seorang lelaki yang melakukan khianat dengan sengaja menggunting Jalur Gemilang baru-baru ini di ibu negara.

Akibat insiden berkenaan pihak polis kini dalam usaha mengesan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata bagaimanapun setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.

“Polis tidak menerima sebarang laporan setakat ini. Tindakan mengesan individu yang melakukan perkara itu sedang dijalankan,” katanya kepada media.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 37 saat dalam aplikasi Tik Tok memaparkan seorang lelaki berbaju merah dan bertopi biru menggunting beberapa Jalur Gemilang yang dipasang di laluan pejalan kaki dipercayai di hadapan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di Jalan Ampang di sini.

Menurut pemilik akaun Tik Tok berkenaan, beliau telah menegur perbuatan lelaki itu tetapi tidak diendahkan selain khuatir akan keselamatan diri ekoran pelaku memegang gunting.

Tamat