Kuala Lumpur: Perbicaraan Datuk Seri Najib Razak berhubung kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan bersambung minggu depan, ditangguhkan sementara menunggu perkembangan rayuan terakhirnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 23 Ogos untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak berkaitan mengemas kini perkembangan rayuan kes SRC Najib di Mahkamah Persekutuan.

Peguam Najib, Aizuddin Wan Mohammed memberitahu hakim bahawa beliau menjangka prosiding rayuan itu berlangsung sehingga munggu depan.

“Kami jangka ia akan berterusan sehingga minggu depan memandangkan tarikhnya telah ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan. Saya rasa empat hari akan datang (22 – 25 Ogos) perbicaraan 1MDB minggu depan seharusnya dilapangkan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam mewakili pendakwa raya.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Sementara itu Mohamad Mustafa memberitahu pemberita bahawa perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB yang melibatkan Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan bersambung pada 26 Ogos.

Beliau berkata, perbicaraan sepatutnya diteruskan hari ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, namun telah ditangguhkan atas sebab yang sama.

“Semalam kami menerima surat daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang memaklumkan permohonan untuk melapangkan perbicaraan hari ini seperti yang diminta peguam Najib dua hari lepas, telah dibenarkan.

“Mahkamah menetapkan 26 Ogos dan beberapa tarikh lain pada 2 Sept serta 21, 25 dan 28 Okt untuk meneruskan perbicaraan,” katanya.

Najib, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau, manakala Arul Kanda, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu bagi melindungi Najib daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Tamat

Sumber – BERNAMA