“Kau Keluarlah Setan, !!!” Terkejut dengan adab dan cacian makian daripada seorang petugas wanita Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) , Seksyen 14 seorang lelaki terus membuat laporan polis Balai Polis Sri Muda kerana bimbang diancam sesuatu.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 8.30 malam pada 10 Ogos lalu kemudiannya tular menerusi video berdurasi 26 saat di aplikasi TikTok dengan apabila lelaki itu dihalau kakitangan Imigresen.

Berdasarkan laporan polis tersebut, lelaki yang bekerja sendiri itu telah hadir ke kaunter Imigresen di Kuala Selangor kira-kira pukul 3 petang bersama anak-anaknya.

Namun dimaklumkan sistem tidak berfungsi dan kemudiannya lelaki itu telah pergi ke kaunter Imigresen di UTC, Seksyen 14 kira-kira pukul 4.30 petang hari sama.

“Bagaimanpun, lelaki itu sekali lagi dimaklumkan sistem angka giliran telah habis dengan hanya 200 nombor sahaja dikeluarkan sehari di kaunter Imigresen UTC tersebut.“Lelaki itu meminta anggota bertugas supaya meletakan Notis Pemberitahuan secara rasmi tetapi tiada apa-apa tindakan,” katanya.

Tambah laporan itu, pegawai yang bertugas telah memberikan nombor giliran iaitu 1201 dan 1202 kepada anak-anak lelaki tersebut kira-kira pukul 6.30 petang.

Apabila nombor giliran salah seorang anaknya telah selesai dan tiba giliran satu lagi nombor dipanggil didapati pegawai terlibat di kaunter kemudian memaklumkan sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berfungsi dan akan dipanggil semula pukul 8 malam.

“Selepas setengah jam berlalu didapati nombor giliran anak lelaki itu tidak dipanggil walaupun nombor terkini pada waktu tersebut telah menjadi 1211.

“Disebabkan itu, lelaki itu seterusnya telah ke kaunter untuk berjumpa dengan salah seorang penyelia lelaki di Jabatan Imigresen bagi mendapatkan penjelasan. Namun, dipertikaikan kenapa tidak pergi kaunter,” ujarnya.

Mengulas lanjut, lelaki itu yang tidak berpuas hati kerana seakan dipermainkan telah hilang kawalan lalu menendang tiang besi.

“Secara tiba-tiba seorang pegawai wanita Imigresen yang berada di belakang sebuah kaunter terus menjerit, menghentak meja, memaki hamun dan memberikan amaran tidak membenarkan lelaki itu dan keluarganya berurusan di Imigresen UTC pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim dalam kenyatannya mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan mendapati tiada berlakunya unsur jenayah.

“Pengadu membuat laporan adalah lebih kepada tidak berpuas hati terhadap layanan diberikan dan kes dirujuk kepada Jabatan Imigresen Selangor utk siasatan dalaman pihak mereka,” jelasnya.

Tamat