Apa sahaja keputusan untuk membubarkan parlimen mesti diputuskan bersama anggota kabinet serta parti yang mendokong kerajaan bukan didominasi oleh BN dan Umno,” tegas Menteri Menteri Alam Sekitar Dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau pada masa sama berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob harus diingatkan kerajaan yang ada kini adalah dokongan daripada PN serta rakan GPS.

“Dalam situasi kini, keutamaan bukan hanya kepada menyegerakan pilihan raya sahaja; sebaliknya aspek kepentingan kebajikan rakyat dan isu kedudukan ekonomi negara turut perlu dilihat juga.

“Bukan soal takut atau tidak bersedia parti politik menghadapi pilihan raya umum, tetapi tindakan beberapa pihak yang menekan perdana menteri secara sepihak perlu menyedari realiti kerajaan hari ini,” katanya pada satu kenyataan.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yakin UMNO akan terus menekan perdana menteri tanpa melihat keadaan parti yang mendokong kerajaan sekarang.

“PAS serta komponan PN telah bersedia dalam semua keadaan, bahkan telah melancar jentera pilihan raya negeri-negeri dan pada 3 Sept ini pelancaran jentera pilihan raya peringkat kebangsaan akan dilancarkan di Kedah sempena Muktamar PAS Pusat.

“Manakala, PN dalam merayakan sambutan dua tahunnya, akan turut melancarkan jentera pilihan raya PN pada 27hb ini,” katanya.

Selepas pilihan raya umum ke-14, PAS menjadi sebahagian pakatan Muafakat Nasional bersama Umno, dengan kerjasama dalam beberapa pilihan raya kecil sehingga pilihan raya negeri Johor lalu apabila parti itu mengisytiharkan sokongan kepada parti Bersatu dan PN.

Menteri PAS dan Bersatu kekal dalam kerajaan di bawah Ismail Sabri dan BN, walaupun selepas Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletak jawatan perdana menteri.

Tamat