Kini viral foto percutian dengan pulau-pulau dengan kapal layar untuk menikmati Sunset Cruise dengan harga sekitar RM 70 di Langkawi yang kebanyakanya beroperasi tanpa lesen sah mampu memberi risiko kepada nyawa penumpang.
Semalam sebuah kapal layar percutian turut ditahan APMM apabila beroperasi tanpa dokumen di sekitar perairan Langkawi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, kapal layar itu ditahan semasa bersauh di 0.2 batu nautika timur laut Pulau Tuba.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal layar yang membawa dua pemilik kapal layar serta dua kru masing-masing berumur 46 tahun hingga 56 tahun beserta lapan penumpang itu, gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk menjalankan aktiviti rekreasi di laut.
“Kapal layar tersebut dipercayai membawa pelancong melihat pemandangan matahari terbenam atau ‘Sunset Cruise’.
“Kapal layar bersama kru dan pemilik bot tersebut kemudian ditahan dan dibawa masuk ke jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata Maritim Malaysia turut menegaskan supaya semua pengusaha kapal layar yang menjalankan aktiviti ‘Sunset Cruise’ untuk mematuhi segala keperluan perlesenan, insuran dan keselamatan bagi menjaga keselamatan pelancong dan penumpang kapal layar.
Maritim Malaysia juga mengingatkan supaya pelancong lebih peka untuk memilih pengusaha kapal layar yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Kes disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah.
Tamat