Kehilangan warga China dalam negara kini membimbangkan apabila mereka kini mula terlibat secara serius dalam perlombongan emas secara haram di Hutan Simpan Ulu Jelai Lipis, Pahang.

Sudah banyak hasil negara dirompak apabila pada masa sama mereka turut terlibat dalam projek Musang King haram menyebabkan mereka besar kepala.

Terbaru Jabatan Hutan secara tidak langsung menemui jalan tanah merah mencurigakan sejauh kira-kira 15 kilometer membongkar aktiviti melombong emas secara haram dalam operasi di Kompartmen 484 dan 485 di kawasan berkenaan.

Tanpa berlengah 29 anggota Unit Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub dibantu lapan anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) serta polis menyerbu kawasan berkenaan selepas menerima maklumat.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP, Shahril Mohamad berkata, pihaknya berdepan cabaran apabila perlu menggunakan pacuan empat roda untuk sampai ke kawasan seluas dua hektar terbabit dari Jalan Pos Betau-Cameron Highlands.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di kawasan berbukit dan bertanah merah itu, pihaknya menemui lapan kolam air dan dua kolam dipercayai mengandungi bahan kimia yang digunakan sebagai penapis selain untuk mengasingkan emas yang melekat pada pasir.

“Ini kali pertama pihak kita menemui aktiviti melombong menggunakan kolam yang sistematik dipercayai bagi mendapatkan galian emas yang berada dalam tanah di kawasan terbabit.

“Terdapat juga ratusan batang paip bersama lubang kecil di satu-satu kawasan, tetapi saya tidak pasti kegunaan paip berkenaan yang dilengkapi dengan corong di dalamnya terdapat sekam padi,” katanya ketika ditemui.

Shahril yang turut meninjau kawasan lombong berkenaan berkata, beliau difahamkan teknik melombong berkenaan lebih berkesan bagi mendapatkan emas dalam jumlah yang banyak pada satu-satu masa dan penggunaan kaedah itu amat terkenal di China.

Menurutnya, pihaknya turut difahamkan terdapat kira-kira 20 individu dipercayai kebanyakan warga China ‘bekerja’ di kawasan itu, namun dipercayai sudah melarikan diri ketika serbuan dilakukan.
“Pemeriksaan yang dilakukan turut menemui sebuah pondok berdinding kanvas dijadikan sebagai makmal selain dua unit enjin janakuasa elektrik berkuasa 2,500 kilowatt bersama sistem agihan kuasa menggunakan kabel elektrik bermutu tinggi.

“Sistem paip bagi mengalirkan air ke setiap kolam serta rumah penapis juga dianggap terbaik dengan menggunakan paip dan pam berkuasa elektrik.

“Siasatan awal percaya pihak yang terbabit dengan kegiatan haram ini sanggup mengeluarkan modal yang besar bagi menjayakan misi mereka, malah boleh dikatakan semua kelengkapan seperti tempat tinggal, dapur, tandas, bilik mandi, makanan dan tukang masak disediakan,” katanya.

Katanya, selain merampas pelbagai peralatan, pihaknya turut menyita lori yang digunakan untuk mengangkut tanah bersama jengkaut.

“Kegiatan melombong emas secara haram dalam Hutan Simpan Ulu Jelai yang dikesan bukan sahaja menjejaskan alam sekitar berikutan penggunaan bahan kimia, tetapi juga mengundang kepada hakisan,” katanya.

Menurutnya, siasatan akan dibuat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Tamat