Pastinya rakyat Malaysia tertunggu-tunggu apa yang bakal menanti buat Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak untuk rayuan akhir mengetepikan sabitan dan hukuman tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Pada prosiding Jumaat lalu, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mengetuai pembelaan bekas Perdana Menteri itu, tetap memutuskan untuk tidak mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir anak guamnya.

Selepas Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram selesai berhujah bagi pihak pendakwaan atau responden, Hisyam memaklumkan bahawa beliau memilih untuk tidak berhujah sama ada secara lisan mahu pun bertulis.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berkata, peguam itu yang baharu dilantik Najib pada 21 Julai lalu, mempunyai kebebasan untuk menentukannya.

Persoalan yang timbul, jika peguam Najib terus memilih untuk tidak berhujah, adakah panel akan terus memberikan keputusan rayuan itu atau menetapkan pada tarikh lain untuk memutuskannya?

Hisyam ketika ditemui pemberita selepas prosiding Khamis lalu, tidak menolak kemungkinan bahawa mahkamah boleh terus membuat keputusan, ketika ditanya mengenai situasi yang boleh berlaku jika pihaknya tidak berhujah.

Bagaimanapun Hisyam memberi reaksi dengan berharap panel tidak berbuat demikian.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, serta penjara 12 tahun selain denda RM210 juta, jika gagal bayar penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana hakim mengarahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

Tamat