Pasukan yang mewakili Datuk Seri Najib Razak diibaratkan seperti biskut Chipmore apabila Peguam Shafee Abdullah akan menyertai semula pasukan pembelaan Najib Razak bagi rayuan kes SRC International.

Shafee akan membantu peguam utama Hisyam Teh Poh Teik.

Shafee dan dua lagi peguam, Harvinderjit Singh serta Farhan Read sebelum ini mengendalikan kes SRC International itu ketika ia dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Pada 26 Julai lalu, Najib dilaporkan menggugurkan Shafee daripada mewakilinya dalam rayuan terakhirnya dan melantik Zaid Ibrahim Suflan T H Liew & Partners, dengan Hisyam menjadi peguam utamanya.

Khamis lalu, Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili Najib atas alasan tidak mempunyai masa mencukupi membuat persediaan bagi kes itu, tetapi ia ditolak panel hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Mohd Diah.

Tamat