Semalam kelihatan beberapa pemimpin UMNO berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipercayai berakhir kira-kira pukul 9.11 malam di Seri Perdana, Putrajaya.

Ia susulan kenderaan rasmi Perdana Menteri dilihat meninggalkan pekarangan Kompleks Seri Perdana di sini melalui pintu utama dengan diiringi oleh polis pengiring.

Bagaimanapun, kenderaan milik pemimpin UMNO yang lain dipercayai masih berada di dalam kompleks berkenaan.

Terdahulu, beberapa orang pemimpin UMNO dilihat memasuki pekarangan Kompleks Seri Perdana sejak pukul 6 petang tadi.

Media tempatan sebelum ini melaporkan pemimpin tertinggi UMNO dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri malam ini susulan ketidakhadiran beliau pada pertemuan tergempar di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur.

Petang tadi, seramai 158 ketua bahagian UMNO yang hadir ke mesyuarat tergempar itu mendesak pilihan raya umum diadakan dengan kadar segera.

Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos berkata, desakan itu akan disampaikan kepada Ismail Sabri oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat tertinggi parti terdekat.

“Majoriti Ketua Bahagian yang hadir hari ini setuju PRU-15 (Pilihan Raya Umum) diadakan dengan kadar segera.

“Mesyuarat hari ini adalah untuk melihat kesiapsiagaan dan keperluan untuk PRU15 nanti, mungkin dalam tempoh sebulan atau mungkin seminggu lagi,” katanya.

Tamat