Sudah dalam jangkaaan apabila beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu menjulang emas selepas muncul juara dunia pada Kejohanan Badminton Dunia 2022, di Tokyo Metropolitan Gymnasium, hari ini.

Tambah manis apabila membawa semangat Malaysia Boleh sempena hari kemerdekaan yang akan kunjung tiba beberapa hari nanti, menyaksikan kemenangan 21-19, 21-14 hasil ketangkasan Aaron-Wooi Yik menumpaskan Indonesia.

Debaran aksi final selama 40 minit sentiasa mencemaskan apabila berdepan bekas juara dunia tiga kali dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Dengan kejayaan melangkah ke final semalam, pasangan ranking keenam dunia itu turut muncul beregu Malaysia pertama dalam tempoh 12 tahun mara ke final Kejohanan Badminton Dunia selepas kali terakhir dilakukan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2010 di Paris.

Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam kempen kejohanan dunia adalah beraksi di pentas suku akhir pada edisi 2018 di Nanjing, China.

“Tidak tahu macam mana hendak gambarkan apa yang kami rasa. Sudah tentu kami sangat gembira dapat membanggakan diri kami, untuk membanggakan negara kami, sebagai juara dunia pertama Malaysia,” menurut Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas aksi final hari ini.

Menurut Aaron: “Tahun lepas kami menang pingat gangsa Sukan Olimpik di Tokyo, tahun ini kami menang pingat emas juga di Tokyo. Saya rasa Tokyo membawa tuah kepada kami”.

Aaron berkata perbezaan besar dalam pertembungan hari ini ketika menentang Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan kerana mereka memberi tumpuan sepenuhnya dalam gelanggang dan tidak memikirkan mengenai mata sama ada mendahului atau ketinggalan.

“Kami tahu mereka bagus dalam mendapatkan tiga mata pertama, jadi kami cuba tukar corak permainan, cuba lebih sabar dan gunakan kekuatan kami,” katanya.

Sementara itu, Wooi Yik berkata: “Kami sudah bergandingan selama empat tahun dan sering kali tewas di final dan separuh akhir dan akhirnya kali ini kami berjaya meraih kejuaraan. Saya banyak bermain di bahagian belakang. Saya pemain hadapan tapi saya mahu menguasai seluruh gelanggang. Ini strategi yang kami sedang usahakan”.

Pencapaian Aaron-Wooi Yik hari ini menamatkan penantian 45 tahun peminat badminton tanah air untuk menyaksikan wakil negara meraih gelaran juara dunia.

Tamat