Mungkin kerana terlalu asyik dengan animasi adiwira Superman, seorang lelaki dikesan menunggang motosikal secara merbahaya sehingga tidak perasan disaksikan oleh polis peronda yang mengekorinya.

Kejadian aksi superman itu dikatakan berlaku di Kilometer 248, Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) berhampiran Plaza Tol Jabor dekat sini semalam.

Terkejut dengan kehadiran pihak polis, lelaki menunggang Honda EX5 berkenaan cuba untuk melepaskan diri sehingga terjatuh berhampiran Plaza Tol Jabor dan ditahan sekitar jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, aksi suspek yang melakukan aksi Superman dengan motosikalnya telah diperhatikan sebuah kereta peronda Unit Polis Ronda Lebuhraya (EMPV) Zon Timur 4, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

“Remaja yang berasal dari Jengka, Pahang itu juga dilihat melakukan aksi zig zag secara berulang kali sejauh kira-kira dua kilometer dari Kilometer 248 hingga Kilometer 250, LPT 1.

“Begitu pun, sebaik menyedari kehadiran anggota polis, dia bukan sahaja enggan mengikut arahan berhenti malah telah memecut laju motosikalnya,” katanya.

Hanyan berkata, motosikal jenis Honda EX5 suspek telah menghala ke Plaza Tol Jabor sebelum membuat pusingan U melawan arus menghala ke arah Kuantan, Pahang.

Tambah beliau, remaja itu kemudiannya kembali membuat pusingan menghala semula ke Plaza Tol Jabor pula sebelum terbabas dan terjatuh tidak lama kemudian

Tamat