Anak muda tidak fikirkan ideologi politik. Bagi mereka, parti politik adalah di tangga kedua. Tangga pertama, adalah jaminan mereka untuk masa hadapan,” itu kata Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau berkata berdasarkan analisa terkini anak muda kini tidak lagi terikat dengan ideologi politik dan sebaliknya mahukan jaminan kualiti masa depan yang baik untuk hidup.

“Pertama, anak muda yang berumur antara 18 hingga 40 tahun mahukan jaminan pendidikan yang tidak terbeban dengan pinjaman pengajian.

“Kedua, katanya mereka mahukan pembelian rumah pertama dan ketiga, mahukan jaminan kerjaya yang menjamin kehidupan masa hadapan.

“Manakala keempat, mereka mahukan program atau skim pembelian kenderaan yang boleh menjamin keselesaan hidup. Mereka berfikir untuk jangka masa 30 hingga 40 tahun akan datang. katanya.

Ahmad Fadhli mencadangkan PN membentangkan manifesto anak muda dengan seberapa segera agar dapat menawan hati anak muda supaya PN dapat membentuk kerajaan dalam PRU15 akan datang.

“Kita percaya bahawa lawan kita pada hari ini berada pada situasi yang sangat-sangat lumpuh dengan satu persatu mungkin akan ke dalam. Tetapi kita lihat berhari-hari dibilang, nasib yang malang kerana kesalahan yang mereka lakukan sebelum ini.

“Justeru lawan kita yang namanya Umno, Barisan Nasional (BN) sedang berada dalam situasi yang sangat lemah dan begitu juga Pakatan Harapan (PH). Maka rakyat yang rasional, InsyaAllah akan memilih PN.

“Namun hendaklah kena dengan cara dan usahanya. Kegilaan adalah melakukan perkara sama secara berulang-ulang dengan mengharapkan mendapat keputusan berbeza.

“Kita telah melakukan ramuan yang sama di Melaka dan Johor, kita gagal. Adakah ramuan yang sama kita akan gunakan sekali lagi, dan kita akan terus gagal. Mesti sama sekali tidak. Justeru itu, kita perlukan satu ramuan yang berbeza,” katanya.

Beliau percaya bahawa PN berada pada trek yang betul dengan gerak kerja bermula apabila pulang ke kampung halaman masing-masing untuk memantapkan jentera bagi menghadapi PRU15.

“Rundingan elok perlu dilakukan. Kalaulah seandainya namanya Umno, BN ada sedikit perubahan, kita fikir rundingan perlu dibuat,” katanya.

Beliau berkata, PN perlu memastikan tragedi 2018 tidak berulang dan walaupun suasana konvensyen pada hari ini bukan untuk melawan BN, tetapi rasionalnya kalau bertempur tiga penjuru, adakah kemenangan boleh dicapai dan ini memerlukan kajian terperinci. –