Setelah beberapa jam hujan lebat turun di Kuala Lumpur, mula membuatkan warga kota mulai resah selepas beberapa insiden banjir kilat yang berlaku awal tahun lalu.

Menurut laporan Jabatan Saliran & Pengairan paras air dua sungai di Kuala Lumpur kini berada pada paras amaran dan waspada.

Ketika jam 11.15 malam tadi, Sungai Gombak di Jalan Tun Razak merekodkan paras amaran dengan bacaan 30.59 meter (m) berbanding normal iaitu 29 m.

Manakala, Sungai Klang di Jambatan Tun Perak pula memperlihatkan bacaan 28.05 m melebihi paras waspada.

Kedua-dua catatan itu dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi laman web info banjir semalam.

Sementara itu, sungai-sungai di Selangor juga dilaporkan berada pada tahap bahaya, amaran dan waspada. Sungai Damansara di Kampung Melayu Subang, Petaling telah mencatatkan aras air 17.75 m.

Sungai Jijan di Taman Desa Merpati, Sepang pula mencatatkan bacaan 12.76 m, meletakkannya pada paras bahaya.

Terdahulu, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di kebanyakan negeri termasuk di Kuala Lumpur dan Selangor sehingga jam 3 pagi semalam.

Tamat