“PAS secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU15, termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar,” itu kenyataan daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurutnya PAS tetap mengutamakan konsep Penyatuan Ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politiknya.

“PAS amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputra kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

PAS mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15 demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Pada masa sama beliau menegaskan Kerajaan Negeri-negeri yang diterajui oleh PAS tidak akan membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri masing-masing lebih awal dari bulan Mac 2023.

“Buat masa ini penumpuan PAS lebih diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama di bidang perekonomian selain dari kesihatan,” katanya.

Tamat