Pastinya ramai yang menunggu keputusan mahkamah hari ini berkenaan kes melibatkan isteri Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor berkenaan tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang dibicarakan pagi ini, sekiranya disabitkan kesalahan dia mungkin akan dipenjarakan.

Semua rakyat ternanti-nanti segala apa keputusan yang telah ditetapkan mahkamah kerana mahu memastikan kes rasuah melibatkan pemimpin politik negara tidak lagi menghantui pimpinan negara.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dijadual mengumumkan keputusannya pada 9 pagi di mahkamah terbuka.

Bagaimanapun, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah memfailkan permohonan di saat akhir supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes tersebut.

Permohonan itu difailkan semalam atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran keputusan kesnya yang disediakan oleh pihak lain.

Difahamkan Mahkamah Tinggi esok akan mendengar permohonan itu terlebih dahulu.



Rosmah, 70, menghadapi satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh mewakili Rosmah.

Pada 18 Feb 2021, Rosmah diperintah membela diri atas tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb lalu selepas memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.



Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, 46, yang didakwa dengan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah atas projek berkenaan.

Bagaimanapun pada 8 Jan 2020, sebelum perbicaraan bermula, mahkamah membebaskan Rizal daripada tuduhan setelah pihak pendakwaan menarik balik keempat-empat tuduhan terhadapnya dan Rizal kemudian menjadi saksi utama pendakwaan.

Pada 15 Nov 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan rasuah.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui Rizal, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediamannya di Jalan ‪Langgak ‪Duta, ‪Taman ‪Duta, pada 7 Sept 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Dis 2016, di kediaman Seri Perdana di Putrajaya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Tamat