Tiada kata yang terucap apabila Datin Seri Rosmah Mansor hari ini dibuktikan bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah dan bakal mengikut jejak langkah suaminya Datuk Seri Najib Razak sekiranya berakhir di kurungan penjara.

Pertuduhan berkenaan melibatkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan dibicarakan oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap Rosmah.

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta terhadap Rosmah.

Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion itu.

Pada 18 Feb tahun lepas, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu diperintah membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Setelah memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb lepas.

Tamat