Selepas dua kali mengalami banjir tahun ini, kali ini daerah Baling di Kedah sekali lagi mengalami banjir kilat selepas hujan turun dalam beberapa jam petang semalam sehingga menyebabkan paras air di Sungai Kupang mulai melimpah

Kejadian banjir kilat berkenaan menyebabkan seramai 130 orang daripada 37 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan keselamatan terjamin.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling Lt Pertahanan Awam (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata 96 orang daripada 31 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang manakala 34 orang daripada enam keluarga di PPS Dewan Masjid Al Huda, Kampung Hangus.

“Setakat lapan pagi tadi, mereka yang berlindung di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang terdiri daripada empat bayi, 22 warga emas, 31 kanak-kanak dan 39 dewasa.

“PPS Dewan Masjid Al Huda Kampung Hangus pula menempatkan empat warga emas, 20 kanak-kanak dan 10 dewasa,” katanya.

Mohd Faizol berkata banjir kilat itu menjejaskan lima rumah di Taman Bayu Sejahtera dan 11 rumah di Kampung Sungai Batu di Mukim Baling.

“Bagi Mukim Kupang, rumah terjejas termasuk 17 di Kampung Iboi, lima di Kampung Bendang Padang dan lapan di Kampung Hangus,” katanya.

Tamat