Kuala Lumpur: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun wajar mengkaji semula keputusannya mengenai status bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, jika dibaca Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, jelas Najib sudah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Katanya, biarpun Najib ada memfailkan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tetapi prosiding pengampunan diraja itu belum didengar dan lembaga itu bukannya mahkamah.

“Pengampunan Najib kepada Yang di-Pertuan Agong mesti atas nasihat Perdana Menteri. Jika sekarang, nasihat itu mesti datang dari Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri

“Dari segi undang-undang, sabitan kesalahan Najib dalam pertuduhan dalam kes SRC International adalah kekal. Hukuman Penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berkuat kuasa sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Azhar dalam kenyataannya hari ini menerima dokumen tambahan dengan memutuskan kedudukan Najib masih kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, agak aneh Azhar boleh memutuskan Najib masih kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan.

“Memang benar Najib memfailkan prosiding semakan di Mahkamah Persekutuan supaya Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan Najib agar keputusan lima orang hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man pada 23 Ogos lalu, disemak oleh korum hakim-hakim Mahkamah Persekutuan lain.

“Tetapi permohonan semakan oleh Najib itu bukannya satu penggantungan perlaksanaan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen Mengenai Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan.

Beliau berkata, tidak ada dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan, jika seseorang Ahli Parlimen merayu kepada Lembaga Pengampunan Diraja atau memohon semakan mahkamah, kelayakannya sebagai Ahli Parlimen tetap kekal.

“Sebaliknya apa dinyatakan dengan jelas di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan ialah jika pesalah itu (yang telah dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda yang tidak kurang daripada dua ribu ringgit) dan dia tidak mendapat pengampunan bebas, dia hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Perkara 48(1)(e) antara lain menyatakan seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen, jika dia disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Mengulas lanjut, katanya, keempat-empat syarat kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen itu ada pada Najib.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan itu keputusan terakhir dalam sistem mahkamah di Malaysia. Tidak ada mahkamah yang lebih tinggi lagi daripada Mahkamah Persekutuan dalam sistem perundangan di Malaysia.

“Tidak ada penggantungan pelaksanaan diberikan oleh Mahkamah Persekutuan kepada Najib. Ini bermakna semua syarat kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen ada pada Najib sekarang,” katanya.

Tamat

Sumber – Harian Metro