“Walaupun kena kerja 24 jam sekali pun, bekerjalah untuk bawa keluar semua pasir itu. Timbunan pasir itu perlu dikeluarkan dari situ dan selepas itu, barulah sungai tersebut boleh didalamkan” itu kata tegas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang bimbang berkenaan keselamatan penduduk di Kampung Iboi, Baling Kedah.

Menurut beliau proses mendalamkan Sungai Kupang serta pengukuhan tebing sedang dijalankan oleh Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) tetapi terganggu akibat hujan lebat dan banjir kilat.

“Tak cukup masa kerja yang ada, tambah kerja hingga 14 jam agar longokan pasir itu dapat dipindah dengan segera,”

“Selain itu pasir di dalam Sungai Kupang turut perlu dikeluarkan. Saya dah minta kepada Pejabat Daerah dan Tanah Baling agar pasir-pasir yang dilonggokan di tepi sungai itu dibawa keluar dengan segera,” katanya.

“Kini tanah serta pasir telah memenuhi sungai sehingga air berada sama paras dengan jalan. Proses itu memang lama dan lambat kerana dulu mereka buat pengukuhan tebing tetapi apabila datang banjir kali kedua dan ketiga, rosak pula dan perlu dibuat sekali lagi,” katanya.

Apabila berlaku hujan lebat, aliran air dari Gunung Inas katanya turun melalui lorong yang terbentuk sebelum ini dan mengalir deras ke Sungai Iboi sehingga menyebabkan jambatan bailey tergantung kerana penghubung kanan dan kirinya putus.

Sementara Sanusi mengharapkan agar mangsa-mangsa banjir terutama penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Iboi dapat bersabar dan kerajaan negeri akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah itu.

Dilaporkan seramai 130 penduduk daripada 37 keluarga di Kampung Iboi terpaksa berpindah ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Kampung Padang Empang dan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus ekoran rumah mereka dimasuki air.

Banjir akibat hujan lebat yang bermula sejak 5 petang semalam turut menjejaskan beberapa kampung lain di Kupang, Baling.

Tamat