KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik saman terhadap kerajaan Malaysia berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa dengan mengemukakan pendakwaan terhadapnya dalam beberapa kes termasuk kesalahan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Najib meneruskan saman terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas selaku defendan pertama.

Notis Pemberhentian itu difailkan oleh Tetuan Raj, Ong & Yudistra, peguamcara Najib selaku plaintif, pada Khamis.

Menerusi notis itu, Najib sepenuhnya menggugurkan tindakan saman terhadap defendan kedua, kerajaan Malaysia dengan tiada perintah mengenai kos.

Ketika prosiding, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mahu menghentikan saman sivil terhadap kerajaan, namun tiada sebarang alasan atas tindakan diambil anak guamnya itu.

Sementara itu, peguam, Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas berkata, terpulang kepada plaintif untuk meneruskan atau menarik balik tindakan berkenaan.

Susulan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache bertanya mengenai kesan yang akan timbul susulan penarikan balik saman itu terhadap defenden kedua.

Alan berkata, meskipun kerajaan bukan lagi pihak yang disaman, ia masih disifatkan bertanggungjawab secara vikarius.

Ahmad kemudiannya merekodkan penarikbalikan saman tersebut.

Dalam prosiding ini, Najib yang hadir di mahkamah dengan memakai sut kelabu berkemeja putih, duduk dalam keadaan tetang di galeri awam serta diawasi pegawai dari Penjara Kajang.

Turut kelihatan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Oktober 2021 dengan menamakan Thomas dan kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan kedua melibatkan ganti rugi lebih RM1.9 juta.

Dalam pernyataan tuntutan, Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh di mahkamah membabitkan kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Tamat

Sumber – Sinar Harian