Nikmat Islam menjadi nikmat paling istimewa buat seorang aktivis masyarakat K Parameswaran, 35, atau dikenali sebagai cikgu Param apabila dapat mengucapkan syahadah pada Jumaat lalu di Masjid Taman Bandar Baru, Sungai Lalang.

Menurutnya hasrat memeluk Islam yang sekian lama dipendam akhirnya tercapai menyebabkan dirinya berasa bercampur baur antara sedih dan gembira.

Cikgu Param selamat melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof dengan turut disaksikan jemaah masjid termasuk rakan

“Sejak kecil saya membesar dalam kelompok masyarakat terdiri daripada orang Melayu dan sedikit demi sedikit mula tertarik dengan cara hidup mereka.

“Saya juga tertarik dengan agama Islam namun terpaksa menangguh hasrat memeluk Islam kerana berkabung selama setahun selepas kematian tiga ahli keluarg akibat Covid-19 tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, ibu, bapa dan abangnya meninggal dunia akibat Covid-19 dan dia sebagai satu-satunya waris tunggal perlu menyempurnakan upacara pengebumian mengikut adat dan agama dianuti dahulu.

“Untuk upacara penghormatan terakhir itu, ia memerlukan saya berkabung selama setahun.

“Jadi, selepas tamat tempoh berkabung saya menyatakan hasrat untuk memeluk Islam kepada rakan-rakan,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian dibawa menetap selama dua bulan setengah di MADAD untuk mempelajari dan mendalami ilmu asas Islam.

“Saya bersyukur kerana impian memeluk Islam akhirnya tercapai dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu.

“Saya memeluk Islam tanpa paksaan daripada mana-mana pihak dan sebagai orang baru, saya sedar masih banyak yang perlu dipelajari,” katanya.

Tamat