Walaupun berbeza pandangan politik PAS tetap komited untuk menjadi agen penyatuan ummah terutamanya dalam usaha perpaduan nasional di antara orang Melayu-Islam, kaum Bumiputra dan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keadaan itu sekali gus akan menjadi formula utama ke arah kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Justeru itu, ujarnya PAS kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan penyatuan ummah termasuk Umno sebagai rakan ta’awun terutama dalam membina negara yang baik dan diredhai Tuhan.

Sehubungan itu, kata beliau PAS akan terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan bersama semua rakan-rakan ta’awun dengan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan sebarang jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat jelata.

“Ini adalah juga selaras dengan usul yang dibawa oleh Dewan Ulamak PAS Pusat dan disokong sebulat suara dalam Muktamar PAS ke-68 di Alor Setar baru-baru ini,” kata beliau dalam kenyataan, malam ini.

“PAS amat yakin hanya dengan perpaduan di antara parti-parti Melayu-Islam sahaja akan dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya seterusnya akan diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu sejarah hitam lampau berulang kembali,” katanya.

Tamat