Menyoroti hadis Nabi Muhammad SAW supaya diajarkan anak-anak berenang kini sukan berkenaan jenis finswimming mula bersinar di kalangan pelajar tahfiz sehingga menyertai kejohanan peringkat dunia.

Dikatakan sukan berkenaan baru menjejak kaki di Malaysia belum sampai setahun namun Persatuan Finswimming Selangor (PFS) mengambil langkah berani menghantar tiga pelajar Maahad Tahfiz Diving Al Amin menyertai kejohanan finswimming dunia di Phuket, Thailand baru-baru ini.

Selain tiga pelajar berkenaan, PFS turut menyenaraikan penyertaan dua anggota bomba Malaysia dan seorang anggota polis dari 69 Komando (VAT 69) dalam kejohanan di Phuket itu.

Kejohanan yang berlangsung 2 hingga 4 September di kolam renang Universiti Prince of Songkla itu menyaksikan tiga pelajar berusia belasan tahun berkenaan bersaing dengan atlet bertaraf dunia dari negara Vietnam, Kemboja, Peru, Thailand, Indonesia, Jordan, Kuwait, India, Singapura dan beberapa negara lain.

Berbekalkan pengalaman pertama ini PFS dan Maahad Tahfiz Diving Al Amin sudah merancang menghantar beberapa orang lagi atlet termasuk pelajar tahfiz dalam kejohanan finswimming dunia di Hungary yang bakal berlangsung awal November depan.

Pengerusi PFS yang juga pengasas Maahad Tahfiz Diving Al Amin, Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin berkata, penyertaan pada kejohanan finswimming dunia di Phuket sebagai langkah pengenalan dalam sukan berkenaan untuk pelajar-pelajar tahfiz.

“Ini merupakan langkah awal kerana sukan finswimming ini masih baharu bagi Malaysia. Perlu akui bahawa negara kita masih kekurangan atlet dalam sukan berkenaan. Oleh itu, PFS mengambil langkah tersendiri untuk menyertai kejohanan dunia di Phuket.

“Kita tidak akan terhenti di Phuket, sebaliknya kita sasarkan penyertaan di kejohanan dunia di Hungary pada November depan,” katanya yang merupakan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang terawal mendapat latihan secara formal mengenai finswimming di Tanzania pada Ogos tahun lalu (2021) yang dikendalikan oleh Naib Juara Dunia Finswimming, Rubes Levada.

Mengenai latihan atlet kelolaan PFS sebelum menyertai kejohanan di Phuket, Ustaz Muhamad berkata, pihaknya hanya sempat melatih para pelajar berkenaan serta anggota bomba dan polis itu kira-kira sebulan.

“Sebaik sahaja kita dapat tahu ada kejohanan di Phuket, kita terus mengadakan pemilihan dan mereka dilatih dalam masa singkat.

“Namun ini bukan alasan untuk kita tidak menyerlah, sebaliknya kita akan berusaha lagi termasuk membuat persiapan untuk ke kejohanan dunia di Hungary nanti,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengapa memilih atlet termasuk dari maahad tahfiz, Ustaz Muhamad berkata, langkah itu antara lain bagi memberi pendedahan, ilmu dan pengetahuan kepada para pelajar tahfiz.

“Kita tidak mahu masyarakat menganggap selama ini pelajar tahfiz hanya tahu mengaji al-Quran dan belajar agama sahaja, sebaliknya kita mahu masyarakat juga tahu bahawa pelajar tahfiz turut bergiat dalam aktiviti sihat.

“Selain aktiviti renang, berkuda, para pelajar ini juga didedahkan kepada finswimming iaitu sukan yang menggabungkan renang dan freedive,” katanya.

Ustaz Muhamad berkata, penyertaan pada kejohanan finswimming dunia di Phuket itu memberi banyak pendedahan kepada atlet PFS termasuk dari segi peraturan, teknikal dan taktik.

“Yang pasti, kejohanan itu mengajar kita mengenai kepantasan, disiplin, kecergasan serta ketabahan dalam bersaing dengan atlet-atlet dunia dari negara-negara lain,” katanya.

Tamat