Aksi Piala FA semalam bertambah hangat apabila hari ini PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengucapkan tahniah kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan menjulang Piala FA 2022 pada Sabtu malam.

Namun begitu apa yang dilihat oleh netizen bukanlah ucapan tahniah berkenaan tetapi usikan daripada Sanusi berkenaan kejayaan JDT menewaskan Terengganu FC sebanyak 3 – 1.

“Tahniah JDT menang Piala FA semalam… sayangnya pemain JDT tidak pandai cakap Johor,” tulisnya di laman facebook pada hari ini.

Selain ucapan tersebut, Muhammad Sanusi turut memuatkan video beliau bermain biola dengan muzik latar belakang lagu Hindustan popular, Humko Humise Churalo dari filem Mohabbatein.

Sebelum ini, MB Kedah itu secara terbuka mengakui memberikan sokongan kepada pasukan Sang Penyu kerana isterinya berasal dari negeri tersebut.

Jelasnya, hanya orang Johor saja yang akan menyokong JDT manakala penyokong dari negeri lain akan memberikan sokongan kepada TFC.

Tidak lama selepas merangkul kejuaraan, penyerang JDT, Fernando Forestieri menghangatkan lagi keadaan apabila menghadiahkan trofi kepada Sanusi.

Bekas penyerang Udinese itu menyindir Sanusi dengan mengucapkan terima kasih atas ‘sokongan’ yang diberikan sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya menjulang Piala FA buat kali kedua.

“Ini untuk rakan saya @muhammadsanusimdnor_official. Terima kasih atas sokongan anda, nikmati piala ini,” tulisnya di Instagram Story dengan berkongsi poster JDT bersama Piala FA.

Tamat