‘Tubuhnya ada, tetapi bukan mindanya, dan tubuh badannya tidak berfungsi seperti sediakala’ itu ucap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkenaan Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga bapa mentuanya ketika berucap merasmikan Konferens Perubatan Psikologi Malaysia 2022 semalam.

Menurutnya Pak Lah 82 kini mengalami penyakit dementia telah merosot sehingga ke tahap beliau tidak mengingati orang di sekelilingnya.

“Mungkin ramai antara anda tertanya-tanya, di mana PM kelima (Pak Lah). Ya, beliau telah bersara (sejak 2009) dengan terhormat, dan tidak akan menimbulkan masalah untuk penggantinya. Beliau mempunyai dementia. Itulah sebabnya beliau tidak kelihatan lagi di mana-mana.

“Dementia itu satu situasi yang sangat kejam, kerana tubuhnya ada, mindanya tiada. Saya lihat bapa mertua saya merosot ke tahap beliau tidak lagi berfungsi secara normal. Beliau tidak ingat nama saya, tidak ingat nama isteri saya,” katanya lagi.

Pada masa sama, KJ turut menyentuh berkenaan penyakit Dimentia kerana majlis tersebut juga berkaitan pelancaran Garis Panduan Klinikal untuk Pengurusan Dementia (Edisi Ketiga), dan Pengurusan Skizofrenia (Edisi Kedua).

Menurutnya keluarga beliau mungkin mampu mendapatkan sokongan perubatan profesional untuk Pak Lah, tetapi situasi yang sama mungkin tidak dapat diperolehi atau diakses oleh sebahagian besar keluarga pesakit dementia di negara ini.

Khairy berkata, beliau dan Kementerian Kesihatan Malaysia sedang merangka Kertas Putih Kesihatan yang turut merangkumi usaha pemerkasaan dan pelaburan bagi memastikan dalam komuniti mendapat akses penjagaan di rumah.

“Ini mungkin permulaan bagi rakyat Malaysia, yang telah menderita akibat keadaan ini. Saya berharap, dalam proses mendraf Kertas Putih, dan pada sama proses menstruktur bajet (2023) KKM, kami dapat menzahirkan kes yang kukuh supaya sektor penjagaan kesihatan mendapat lebih banyak dana.

“Ia adalah sesuatu yang amat penting supaya petugas kesihatan dapat bersama-sama dengan petugas sosial. Supaya kita semua berada dalam pemahaman yang sama,” katanya lagi.

KJ yang mewakili KKM akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk mengkaji bagaimana penjagaan sosial di peringkat komuniti dapat ditingkatkan melalui tambahan peruntukan.

Beliau berkata, langkah itu dilihat perlu bagi membantu keluarga yang tak mampu menggajikan seorang jururawat untuk bersama ahli keluarga yang menghidap dementia.

Tamat