Pepatah berkata, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa, itu yang dapat diperkatakan apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT), Datuk Lokman Noor Adam selepas disaman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial.

Naib Presiden UMNO itu, selaku plaintif memfailkan saman fitnah tersebut atas kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 8 September lalu, dengan menamakan Lokman, 49, yang merupakan ahli UMNO selaku defendan tunggal.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Lokman pada 22 Ogos lalu, membuat kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam video bertajuk ‘Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM (Perdana Menteri) Ada Masa Jumpa Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) – Lokman Adam’.

Beliau berkata, kenyataan berkenaan dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube ‘Lokman Adam’ Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’, Instagram ‘lokmannooradam’ dan TikTok ‘datoklokmanadam’.

Katanya, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif adalah pengkhianat kerana berjumpa Dr. Mahathir dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas Perdana Menteri itu, serta parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak pernah berjumpa Dr. Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, plaintif juga mendakwa beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk mencampur tangan prosiding undang-undang terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan bekas Perdana Menteri itu disabitkan dan seterusnya dipenjarakan.

Menurutnya, akibat kata-kata fitnah itu, reputasinya sebagai seorang ahli UMNO, Naib Presiden UMNO dan Perdana Menteri terjejas, membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya dan siaran-siaran fitnah yang dibuat oleh defendan adalah berniat jahat.

Berikutan itu Ahli Parlimen Bera itu berkata, satu surat tuntutan bertarikh 25 Ogos lalu telah dikeluarkan supaya defendan memadam video daripada media sosialnya dan mengeluarkan permohonan maaf kepada plaintif namun sehingga kini defendan gagal berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara dalam satu prosiding hari ini, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi di sini, supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnah Perdana Menteri di akaun media sosial.

Peguam Ragunath Kesavan yang mewakili Ismail Sabri berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, ia selepas permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan Ismail Sabri selaku plaintif, terhadap Lokman sebagai defendan dibenarkan mahkamah.

“Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang defendan sama ada secara sendiri, ejen-ejennya daripada membuat kenyataan yang serupa di media sosial atau apa-apa laman web lain milik defendan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding dalam kamar di hadapan Roz Mawar.

Menurut Kesavan, perintah ex-parte dikeluarkan hari ini sehingga pendengaran inter-parte (dua pihak) pada 26 September ini.

Tamat