Belum sempat menghabiskan sesi perbicaraan kes rasuah 1MDB RM2.28 bilion tertuduh Najib Razak hari ini terpaksa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur semalam akibat tekanan darah tinggi.

Ketika prosiding mahkamah di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan bekas menteri kewangan itu dimasukkan ke hospital.

“Najib telah jatuh sakit. Dia kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Setakat pagi ini, saya diberitahu pada 7.30 pagi dan 9.30 pagi tadi kemungkinan ujian tertentu dijalankan akan mengambil masa beberapa hari lagi.

“Tetapi mereka tidak memberitahu bilangan harinya,” kata Shafee, sambil menambah bahawa terdapat kemungkinan Najib perlu dipindahkan kemudian dari HKL ke Institut Jantung Negara (IJN).

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan pihak pembelaan untuk mengosongkan prosiding hari ini.

Sequerah kemudian membenarkan perbicaraan hari ini dikosongkan dan perkara itu dipanggil petang esok bagi memaklumkan keadaan tertuduh kepada mahkamah.

Semalam, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa keadaan kesihatan Najib agak teruk dan perlu berjumpa doktor, dan prosiding ditamatkan lebih awal selepas tengah hari semalam.

Secara berasingan semalam, pegawai khas Najib Muhamad Mukhlis Maghribi mendedahkan bahawa doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) melakukan kolonoskopi ke atas bekas perdana menteri itu dan menemui pelbagai ulser baru, masalah sama berulang sejak 15 tahun lalu.

Dia berkata, doktor juga melakukan biopsi yang menyebabkan sedikit pendarahan dan beberapa ulser terpaksa dipotong untuk menghentikan pendarahan.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat pertuduhan rasuah di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa salah laku di 1MDB dilakukan oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan beberapa yang lain, dengan restu Najib.

Pasukan pembelaan tertuduh bagaimanapun mendakwa bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu tidak mengetahui jenayah yang dilakukan di 1MDB dan penyelewengan itu hanya didalangi oleh Low dan ahli pengurusan dana yang lain.

1MDB dan SRC International dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Najib juga pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB dan berkhidmat sebagai penasihat emeritus kepada SRC International.

Dia kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos menolak rayuannya terhadap sabitan SRC International atas tujuh pertuduhan jenayah.

Tamat