KUALA LUMPUR: Sebanyak 66 peratus atau 443 daripada 672 sungai di negara ini dilaporkan dalam keadaan bersih, berdasarkan penilaian kualiti air sungai yang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata hanya lima peratus atau 34 sungai didapati tercemar dan selebihnya iaitu 29 peratus atau 195 sungai berada di bawah kategori sederhana tercemar.

Katanya, hasil itu berdasarkan penilaian air sungai yang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap 8,098 sampel yang diambil daripada 1,353 stesen pengawasan manual yang merangkumi 672 sungai di negara ini.

“Sungai yang tercemar didapati berpunca daripada bahan organik dan sebatian nitrogen akibat pelepasan efluen daripada pengilangan dan pertanian, sisa penternakan, kumbahan domestik serta kerja tanah tidak teratur.

“Hanya satu sungai mencatatkan Sungai Tercemar Kelas V iaitu Sungai Rambai (Lembangan Sungai Sepang, Selangor).

“Sembilan sungai mencatatkan Sungai Tercemar Kelas IV, antaranya Sungai Chempedak dan Sungai Jawi (Lembangan Sungai Jawi, Pulau Pinang), Sungai Punggur (Lembangan Sungai Duyong, Melaka) dan Sungai Buluh (Lembangan Sungai Kawasan Pasir Gudang, Johor),” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya, hari ini.

Terdahulu, satu laporan akhbar melaporkan, sungai paling tercemar adalah Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tuan Ibrahim berkata, JAS juga sudah menerbitkan Laporan Kualiti Alam Sekitar 2020 pada September 2021 lalu, yang turut memuatkan keadaan sungai di negara ini.

“Orang ramai boleh melayari laporan itu di https://enviro2.doe.gov.my/…/upl…/2021/09/EQR-2020-1.pdf,” katanya sambil menyeru semua pihak untuk bersama-sama menjaga kebersihan sungai.

Tamat

Sumber – Berita Harian