PUTRAJAYA: Hakim-hakim perlu taat kepada Perlembagaan Persekutuan dan tegas dalam menjunjung kedaulatan undang-undang pada semua keadaan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tun Mat berkata demikian dalam ucapannya pada Prosiding Rujukan yang diadakan hari ini bagi memperingati bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas.

Beliau berkata tahun 1988 akan selalu dikenang sebagai detik hitam dalam sejarah Badan Kehakiman Malaysia kerana kebebasannya yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, dikejutkan dengan pemecatan Tun Salleh selaku Ketua Hakim Negara.

“Ia mengakibatkan pergolakan dalam sistem kehakiman negara dan memberikan tamparan hebat kepada Badan Kehakiman dan Perlembagaan, katanya.

Tengku Maimun berkata episod 1988 seharus dijadikan satu pengajaran oleh hakim-hakim bahawa biarpun terdapat percubaan untuk menjejaskan kebebasan badan kehakiman, mereka dalam segala keadaan perlu taat kepada Perlembagaan Persekutuan dan tegas dalam menjunjung kedaulatan undang-undang.

Dalam memperingati Allahyarham Tun Salleh, Tengku Maimun berkata bekas Ketua Hakim Negara itu adalah seorang tokoh perundangan yang berani dan hebat kerana telah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan gigih mempertahankan kebebasan badan kehakiman hingga ke akhir hayatnya.

Beliau berkata Tun Salleh pernah berkata hakim-hakim patut mematuhi dan menghormati konsep pemisahan kuasa dan hakim-hakim tidak sepatutnya mencampuri domain eksekutif atau cawangan perundangan kerajaan.

Tengku Maimun berkata Tun Salleh dengan beraninya mempertahankan peranan badan kehakiman, telah memberitahu adalah peranan badan kehakiman untuk mentaksahkan sebarang tindakan eksekutif atau badan perundangan menggunakan perintah prerogatif atau pengisytiharan sekiranya mereka melampaui batas kuasa yang diberikan kepada mereka oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata sepanjang Tun Salleh berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara, badan kehakiman Malaysia mendapat pujian sebagai contoh kepada negara lain dalam kebebasan kebolehpercayaan badan kehakiman.

Tujuh bulan sebelum kematian beliau, badan kehakiman menjemput Tun Salleh ke Istana Kehakiman untuk minum lewat petang bagi memperingati beliau yang menjadi satu rencana khas di dalam Buku Tahunan Kehakiman Malaysia.

“Dalam beberapa dekad sejak dipecat, beliau berkata tiada penutupan untuk beliau kerana tidak berpeluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kakitangan mahkamah, badan kehakiman dan golongan peguam. Petang itu berakhir dengan acara ringkas untuk mengucapkan selamat jalan kepada Tun Salleh.

“Tidak disangka petang itu merupakan satu perpisahan dengan ucapan selamat tinggal terakhir kami kepada Tun Salleh,” katanya.

Prosiding Rujukan itu dipengerusikan Tengku Maimun yang hadir bersama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan 39 ahli keluarga Allahyarham hadir pada prosisng perujukan, tradisi yang dianjurkan bagi memperingati anggota golongan peguam yang telah pergi.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Presiden Majlis Peguam Malaysia Karen Cheah dan cucu Allahyarham Nuralissa Norrazak juga menyampaikan ucapan sebagai penghormatan kepada arwah.

Tun Salleh yang berasal dari Kampung Raja, Besut di Terengganu meninggal dunia pada 16 Jan tahun lepas di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dua hari selepas disahkan positif COVID-19. Ketika itu beliau berusia 91 tahun.

Beliau berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara di Mahkamah Persekutuan dari 1984 sebelum dipecat pada 1988 dan beliau mempertahankan kebebasan badan kehakiman ketika berlaku krisis perlembagaan semasa Tun Dr Mahathir Mohamed merupakan Perdana Menteri pada masa itu.

Kemudian beliau menyertai politik dan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Jertih, Terengganu dengan tiket PAS pada tahun 1999.

Selepas mengundurkan diri daripada politik beliau menjadi seorang peguam dan sering muncul di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

Sumber – BERNAMA