Belum selesai perbicaraan kes Najib kini kes Muhammad Shafee Abdullah akan mengetahui pada 28 Okt ini sama ada dia akan dibebaskan atau perlu membela diri berhubung empat pertuduhan menerima RM9.5 juta melalui hasil aktiviti haram daripada Najib Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussein menetapkan tarikh itu hari ini selepas selesai mendengar hujahan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, mewakili pendakwaan dan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Shafee.

Shafee pertama kali didakwa di mahkamah pada 13 Sept 2018, dan perbicaraan bermula pada 21 Mei 2021.

Pihak pendakwaan menutup kes terhadap peguam itu pada 12 Mei tahun ini selepas memanggil lapan saksi pendakwaan.

Shafee menghadapi dua pertuduhan menerima wang berjumlah RM9.5 juta, yang didakwa daripada aktiviti haram, melalui dua cek yang dikeluarkan Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Bhd miliknya.

Peguam itu juga menghadapi dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata cukai yang tidak betul dan melanggar Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013, dan 31 Dis 2014.

Tamat

Sumber – MalaysiaKini