Seorang bapa tergamak bertindak seperti syaitan apabila membuang sifat kemanusiaan dengan merogol, melakukan seks luar tabii, amang seksual fizikal terhadap dua anak kandung serta mengugut bunuh isteri dan anaknya.

Walaubagaimanapun netizen tidak berpuas hati walaupun bapa berhati haiwan itu dijatuhi hukuman penjara 428 tahun dan 240 sebatan di Mahkamah Ayer Keroh, hari ini.

Hakim Nariman Badruddin memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan dan mensabitkan tertuduh yang mengekalkan pengakuan bersalah terhadap 28 pertuduhan dibuat di Mahkamah Sesyen semalam.

Beliau bagaimanapun menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh berusia 56 tahun itu berjalan serentak secara berperingkat dan menjadikan tempoh selama 45 tahun selain 24 sebatan maksimum boleh dikenakan.

Berdasarkan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua anaknya kini berusia 19 dan 15 tahun secara berasingan, membabitkan 13 dan lapan kes.

Pada masa sama lelaki iblis berkenaan turut disabitkan lima pertuduhan mengikut Seksyen 377CA KK iaitu melakukan seks dengan mangsa berusia 15 tahun dan berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan.

Tidak cukup dengan itu ia berdepan satu pertuduhan lain mengikut Seksyen 377B Kanun sama kerana melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama serta satu lagi pertuduhan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 16 pula memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan sebat.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 24 September 2015 hingga 5 September lalu bermula ketika kedua-dua mangsa mencecah usia 12 tahun di rumah mereka.

Mengikut fakta, detik hitam menimpa dua beradik itu berlaku sejak 2015 dan terbongkar selepas isteri mangsa terlihat tertuduh sedang merogol anak keduanya kini berusia 15 tahun dalam kejadian terbaru pada 5 September lalu.

Walaupun mempunyai dua isteri melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam rumah termasuk sofa ruang tamu, bilik kelamin dan bilik tidur kedua-dua mangsa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari yang menjalankan pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira kenyataan impak mangsa (VIS) diberikan kedua-dua mangsa jelas membuktikan mereka trauma sehingga takut untuk mendekati lelaki lain mahupun saudara mereka.

Beliau berkata, mangsa berusia 19 tahun turut memberitahu dia tidak lagi mempercayai malah membenci lelaki seusia bapanya itu walaupun mereka baik kepadanya.

Katanya, mangsa kedua pula antara lain menyatakan dia hampir gila memikirkan perbuatan jijik bapanya itu yang menggunakan pelbagai ugutan dan helah serta memaksanya mengadakan seks biarpun ibunya berada di rumah.

“Malahan, tertuduh juga ada ketika meminta ibu mangsa balik ke kampung atau pergi membeli barangan dapur dan melarang mangsa mengikutnya bagi membolehkan dia melakukan seks dengan mangsa di rumah,” katanya.

Anis Najwa turut berhujah, perbuatan tertuduh merosakkan institusi kekeluargaan sedangkan tanggungjawabnya sebagai ayah untuk melindungi kehormatan anak perempuannya.

Tamat