Baitulmaqdis: Seorang wanita Israel berusia 84 tahun, dipukul hingga mati di Israel pada Selasa, dalam apa yang dipercayai polis sebagai ‘serangan pengganas’.

Serangan itu berlaku pada sebelah petang di Holon, pinggir selatan Tel Aviv, Xinhua memetik laporan akhbar berbahasa Ibrani, Haaretz.

Rakaman video pengawasan menunjukkan seorang lelaki menghampiri wanita itu dari belakang dan memukulnya dengan objek, menurut laporan itu.

Wanita itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perkhidmatan perubatan kecemasan di negara itu, Magen David Adom.

Dia ditemukan dengan kecederaan di muka, kata perkhidmatan itu dalam satu kenyataan.

Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, Ketua Polis Kobi Shabtai menyifatkan insiden itu sebagai ‘serangan pengganas yang serius’.

“Pada masa ini ia kelihatan seperti serangan pengganas,” katanya sambil menambah bahawa polis “sedang mencari penyerang berkenaan.”

Stesen berita milik Israel, Kan TV, mengenal pasti suspek sebagai lelaki berusia 28 tahun dari bandar Qalqilya di utara Tebing Barat yang bekerja di tapak pembinaan di Holon, berhampiran lokasi serangan.

Mangsa tinggal beberapa meter dari tempat kejadian, dan dalam perjalanan pulang ke rumah apabila suspek menyerangnya, lapor Kan.

Serangan itu berlaku ketika pertempuran antara tentera Israel dan rakyat Palestin semakin meningkat di Tebing Barat yang diduduki.

Tamat

Sumber – BERNAMA